Ronald Koeman menegaskan bahawa suasana dalam bilik persalinan Barcelona sentiasa positif walaupun mereka memulakan kempen musim ini bukan seperti kebiasaan.

Barca kini ketinggalan enam mata di belakang pendahulu LaLiga, Atletico Madrid, dan telah tewas empat daripada 12 perlawanan liga musim ini di bawah kendalian Koeman, yang menggantikan Quique Setien hujung musim lalu.

Skuad Los Cules itu ditewaskan seteru tradisi, Real Madrid dan Atletico, selain turut berdepan nasib sama ketika berdepan Getafe dan Cadiz.

Tetapi Barca mempamerkan peningkatan ketika menewaskan Real Sociedad 2-1, Rabu lalu dan Koeman berasakan kemenangan itu telah mengembalikan suasana dalam pasukan itu.

"Saya sentiasa dapat lihat suasana yang baik walaupun kami tewas dalam perlawanan. Lebih mudah untuk mendapatkan suasana bahagia ketika anda menang," kata Koeman menjelang perlawanan dengan Valencia malam ini.

"Permainan tanpa bola kami agak baik. Adakalanya ia bergantung kepada lawan tetapi apabila anda banyak melakukan hantaran jauh, anda tidak dapat memberikan tekanan.

"Permainan akan menjadi baik apabila anda dapat memberikan tekanan kepada lawan. Kami melakukannya dengan baik. Kami gemar mempunyai tenaga seperti itu ketika memberikan tekanan. Ia bergantung kepada lawan tetapi kami sentiasa mahu mendominasi dan berada di atas, adakala ia menjadi dan adakalanya tidak.

"Harap-harap kami dapat meneruskan dinamik ini. Amat penting untuk beraksi di laman sendiri dan memperoleh kemenangan

"Adakala ia lebih mudah. Jika anda bermain baik dan menang, suasananya berbeza. Ia normal. Ia berlaku dalam mana-mana pasukan.

"Saya dapat lihat pasukan yang bersatu tetapi ia sentiasa lebih mudah untuk pihak media mendapatkan komen kerana mereka tidak nampak apa yang berlaku dalam bilik persalinan sebelum dan selepas perlawanan," katanya.

Koeman pernah melatih Valencia dari Oktober 2007 hingga April 2008, di mana skuad Los Che berkenaan memenangi Copa del Rey tetapi bergelut dalam saingan liga.

Bercakap mengenai waktunya bersama kelab itu, Koeman berkata: "Saya tidak memiliki memori terbaik karier saya di sana. Saya yang membuat keputusan, mungkin saya silap.

"Ia hanya seketika tetapi sekurang-kurangnya kami memenangi sesuatu.

"Ia tempat yang rumit dengan banyak perubahan jurulatih dan adakalanya saya hilang pertimbangan ketika bekerja di sana," katanya lagi.