Ronald Koeman tiada sebarang rungutan apabila Barcelona sekadar seri 1-1 dengan Athletic Bilbao dalam perlawanan LaLiga awal pagi tadi sambil memuji barisan pemainnya, terutama Memphis Depay.

Depay menjaringkan gol pertamanya bersama Blaugrana pada 15 minit terakhir di San Mames untuk memadamkan jaringan pembukaan Inigo Martinez, sekali gus memastikan pungutan satu mata buat pasukan barunya.

Pemain kebangsaan Belanda itu menjadi pemain Barca pertama terlibat dengan jaringan dalam dua penampilan pertamanya (satu gol dan satu bantuan) sejak Cesc Fabregas dan Alexis Sanchez melakukannya dalam musim 2011-12.

Bagaimanapun, Depay terlepas peluang untuk melebarkan rekod itu ketika mensia-siakan peluang terbaiknya pada empat minit terakhir.

"Saya sepatutnya boleh menjaringkan dua gol," kata Depay kepada Barca TV.

"Pada akhirnya, saya menggunakan kaki kiri.

"Saya amat gembira dapat menjaringkan gol pertama saya tetapi kecewa kerana tidak dapat menyudahkan peluang kedua yang diperoleh."

Koeman, dalam pada itu, berpuas hati dengan persembahahan Depay sambil menambah: "Dia telah menjaringkan satu gol yang hebat dan berpeluang menjaringkan satu lagi gol. Kita perlu melihat kepada perwatakannya ketika pasukan kami sedang ketinggalan 0-1.

"(Depay) telah menunjukkan keberkesanan, kelajuan, kekuatan. Dia pemain yang hebat, kerana itu kami menandatanganinya.

"Anda memerlukan perwatakan. Di sini, permintaannya lebih tinggi dan dia menghadapinya dengan baik," katanya.