Pengendali Belanda, Ronald Koeman, percaya pasukannya perlu mendapatkan barisan depan yang lebih bagus jika mahu mencabar di pentas dunia semula.

Portugal muncul juara sulung Liga Negara-Negara UEFA selepas menewaskan anak buah Koeman 1-0 di Porto awal pagi tadi setelah Goncalo Guedes menyumbat gol tunggal perlawanan.

Belanda mempamerkan perkembangan positif apabila melepasi halangan Jerman, Perancis dan England untuk mara ke final setelah gagal layak ke Euro 2016 dan Piala Dunia 2018.

Namun, walaupun mereka diperkuatkan oleh nama-nama seperti Virgil van Dijk, Matthijs de Ligt dan Frenkie de Jong, Koeman mengakui kelemahan pasukannya di barisan depan.

Memphis Depay melepaskan peluang keemasan menerusi tandukan dalam babak kedua tatkala penyerang utama mudah disekat Portugal dan ia menjelaskan lagi kelemahan yang dinyatakan Koeman itu.

"Kami terus mara dan ke depan. Kami tidak cukup bagus, contohnya awal pagi tadi," katanya.

"Namun, ia hanya menjadikannya negatif walaupun setelah mengharungi kempen ini. Kami tahu kami perlu berada di tahap terbaik dan kami tidak melakukannya.

"Kami sedar kami telah mengharungi langkah besar dalam tempoh setahun bagi saingan Liga Negara-Negara UEFA. Menentang Jerman, Perancis, England, Portugal yang mungkin empat daripada lima atau enam gergasi Eropah.

"Untuk meneruskan langkah seterusnya, mungkin kami perlukan masa, kekuatan serangan sangat penting. Ia juga untuk mencipta peluang kerana kami melepaskannya hari ini.

"Seperti kami jangka, Portugal merupakan pasukan ampuh. Mereka sering beraksi sebegitu. Mereka meraih tempoh bersama lebih lama berbanding kami.

"Mereka mempesonakan di bahagian depan dan mungkin kami kekurangan kreativiti dalam serangan," katanya.

Bagaimanapun, Koeman menghamburkan pujian buat pemainnya serta kejohanan yang dirasakan membantu meningkatkan pasukannya.

"Saya rasa ia kejohanan yang bagus jika anda lihat seluruh musim. Anda boleh nampak Portugal sangat gembira memenangi saingan ini," tambahnya.

"Cabaran di peringkat kumpulan sangat getir dan idea mewujudkan Liga Negara-Negara UEFA sangat sempurna. Kami tidak sabar untuk edisi seterusnya."