Jordi Alba berpandangan bahawa Ronald Koeman layak untuk kekal sekurang-kurangnya setahun lagi di Barcelona seepas presiden kelab itu, Joan Laporta, mengesahkan bahawa jurulatih berbangsa Belanda berkenaan akan terus mengendalikan pasukan itu dalam musim 2021-22.

Koeman dilantik sebagai pengganti Quique Setien pada Ogos lalu selepas Barca tewas 2-8 dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) -- kali pertama mereka dibolosi sebanyak itu sejak 1946.

Selepas bermula goyah pada awal musim 2020-21, Koeman kemudian membawa Barca kembali menjadi pencabar gelaran LaLiga selain mengeluarkan prestasi terbaik Lionel Messi, yang menjaringkan 30 gol untuk memenangi trofi Pichichi buat kali kelapan dalam kariernya.

Barca, bagaimanapun, sekadar menamatkan liga di tempat ketiga dengan 79 mata, yang merupakan rekod terendah mereka sejak musim 2007-08.

Dengan Atletico Madrid merampas kejuaraan LaLiga yang sebelumnya dimenangi Real Madrid, ia bermakna Barca telah gagal memenangi liga buat dua musim berturut-turut -- kali pertama berlaku sejak 2008

Bercakap kepada Radio Marca, Alba berkata: "Ronald telah melakukan tugasnya dengan baik sejak tiba di sini.

"Kami semakin meningkat sepanjang musim dan dia layak untuk meneruskannya di kelab ini."

Pertahanan kanan itu, yang sedang mempersiapkan diri bagi menghadapi Euro 2020 bersama Sepanyol bermula minggu depan -- kagum dengan cara Barca menghadapi jendela perpindahan kali ini selepas sah mengikat Sergio Aguero dan Eric Garcia secara perpindahan percuma daripada Manchester City.

"Ketibaan Aguero dan Eric Garcia merupakan sesuatu yang amat baik pada pandangan saya. Kami amat mengenali Kun (Aguero) daripada segi bola sepak dan mereka (yang mengenalinya dalam pasukan ini) telah bercakap dengan amat baik mengenainya kepada saya.

"Dan Eric seorang yang amat rendah diri untuk belajar dan ia amat baik apabila bekas produk La Masia kembali ke sini. Dalam skuad kebangsaan Sepanyol, kami telah melihat kualitinya," katanya lagi.