Ronald Koeman menganggap keputusan seri 2-2 di antara Barcelona dan Valencia malam tadi berpunca daripada kekurangan fokus anak buahnya dan bukan disebabkan sikap mereka.

Barca diikat dalam perlawanan LaLiga di Camp Nou itu dan kini ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Atletico Madrid, yang berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Mouctar Diakhaby menanduk masuk gol pendahuluan Valencia tetapi Lionel Messi kembali menyamakan kedudukan sebelum pertahanan muda, Ronald Araujo meletakkan pasukan tuan rumah itu di depan.

Bagaimanapun, Maxi Gomez memanfaatkan kepincangan pertahanan Barca pada 21 minit terakhir untuk menjaringkan gol dalam perlawanan keempatnya menentang pasukan gergasi Catalan itu, sekali gus menjadikan Valencia pasukan ketujuh menafikan kemenangan Barca dalam 13 perlawanan liga musim ini.

Koeman tidak mahu menyalahkan sesiapa di atas kekecewaan itu tetapi mengakui pasukannya terlalu mudah membenarkan Valencia memperoleh gol.

"Ia perlawanan yang sukar, kami memberikan tentangan tetapi perlu lebih fokus," katanya kepada Movistar.

"Kami memperoleh peluang tetapi tidak fokus kepada beberapa gerakan lain dan pihak lawan bertahan dengan baik.

"Kami lebih berusaha dalam babak kedua untuk memenangi perlawanan tetapi tidak mencipta banyak peluang seperti yang kami inginkan. Ia bukan permain kami seperti kebiasaaan, kami kehilangan bola di kawasan yang cukup bahaya.

"Saya tidak fikir ia ada kaitan dengan masalah sikap. Terdapat sesuatu yang agak janggal dalam seluruh perlawanan ini. Kami kehilangan bola dan ragu-ragu dengan diri sendiri.

"Kami juga sedar bahawa kami mempunyai masalah dalam gerakan set-piece. Anda perlu berada di atas lawan tetapi kami memiliki pemain yang lebih kecil," katanya.