Ronald Koeman akan kembali menggalas peranan sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Belanda selepas Piala Dunia 2022.

Bekas pengurus Barcelona itu akan mengambil alih jawatan tersebut daripada Louis van Gaal yang baru-baru ini mendedahkan di rancangan TV Belanda, Humberto, bahawa dia telah menjalani 25 rawatan radiasi untuk barah prostat.

Jurulatih berusia 70 tahun itu meneruskan tanggungjawabnya dan tidak memaklumkan mengenai keadaannya kepada pemainnya ketika skuad Belanda berkumpul untuk perlawanan persahabatan menentang Denmark dan Jerman, bulan lalu.

Bagaimanapun, Van Gaal akan kekal mengendalikan pasukan dalam temasya di Qatar yang berlangsung antara 21 November dan 18 Disember depan sebelum Koeman menyambung semula peranan yang ditinggalkannya pada 2020 itu.

Berita itu disahkan oleh Persatuan Bolasepak Diraja Belanda (KNVB) malam tadi.

"Saya menantikan kerjasama baru ini," kata Koeman.

“Lebih kurang setahun setengah yang lalu, saya bukannya meninggalkan pasukan kebangsaan Belanda kerana rasa tidak berpuas hati.

"Tempoh yang pernah saya lalui adalah bagus, keputusannya dan hubungan dengan pemain adalah baik. Kami akan meneruskan laluan ini tidak lama lagi, saya jamin."