Ronald Koeman kini bersiap sedia untuk menghadapi Portugal dan Cristiano Ronaldo, Selasa ini, dengan menganggap bintang Real Madrid itu sebagai salah seorang pemain yang selalu menjaringkan gol.

Koeman memulakan tugas sebagai jurulatih Belanda dengan kekalahan 1-0 kepada England di laman sendiri, Sabtu lalu, yang bermaksud dia akan terdesak untuk mendapatkan keputusan positif bagi memulakan era baru.

Tetapi juara Eropah, Portugal, tidak mungkin menjadi lawan yang lebih mudah ketika mereka bertembung di Switzerland, terutama sekali apabila perlu berdepan Ronaldo.

Ronaldo sebelum ini menjaringkan dua gol lewat ketika Portugal bangkit daripada ketinggalan untuk mengalahkan Mesir sementara dia juga mengumpul 17 gol dalam lapan perlawanan terakhir di peringkat kelab.

Dan Koeman menerima bahawa tidak banyak yang boleh dilakukan untuk mengekang pemain seperti Ronaldo.

"Dia adalah pakar'," kata Koeman kepada pemberita hari ini.

"Dia adalah salah seorang pemain yang selalu menjaringkan gol. Walaupun pasukannya bermain buruk, mereka mempunyai kemampuan untuk mencetak gol.

"Dan kadang-kadang mereka tidak memerlukan pemain lain untuk mencapainya. Ada seorang dua pemain seperti itu pada masa ini," katanya.

Koeman mula mengendalikan tugas barunya itu pada awal Februari lalu, dengan bekas bos Everton berkenaan dipaksa mencetuskan peningkatan berikutan kegagalan mereka melayakkan diri ke Piala Dunia.

Dan dia menerima hakikat bahawa Belanda tidak lagi dilihat sebagai antara pasukan terbaik, menonjolkan keperluan untuk "mencari cara lain" untuk berjaya.

"Kami bukan yang terbaik di dunia lagi. Ia bukan sesuatu yang baru," katanya. "Jadi kami perlu mencari jalan lain untuk mencapai sesuatu.

"Kami bermain dalam formasi baru, di mana kami ingin mengembangkan diri dan berharap Selasa ini akan lebih baik daripada Sabtu lalu. Ia terutama melibatkan kemahiran bola sepak kami."