LIVERPOOL 4 SALZBURG 3

Jurgen Klopp enggan terlalu mengkritik selepas Liverpool melepaskan pendahuluan tiga gol ketika menewaskan Salzburg dalam Liga Juara-Juara Eropah sambil menegaskan saingan dalam Kumpulan E itu sudah semakin terbuka.


Mohamed Salah menjaringkan dua gol dengan Sadio Mane dan Andrew Robertson turut menemui sasaran ketika juara bertahan itu terlepas daripada situasi paling sukar untuk meraih kemenangan di Anfield awal pagi tadi -- juga kebangkitan selepas tewas 0-2 kepada Napoli dalam perlawanan pertama.

Napoli terikat seri dengan Genk dalam satu lagi perlawanan dan ia bermakna The Reds, yang melonjak ke tangga kedua dengan memintas Salzburg, hanya kekurangan satu mata berbanding pendahulu kumpulan itu dan Klopp bersedia untuk melihat sesuatu yang positif daripada pasukannya.

Dia berkata kepada BT Sport: "Lebih baik mempelajari sesuatu ketika perlawanan daripada bercakap mengenainya kemudian.

"Saya fikir kami amat hebat dalam 30 minit pertama, kemudian Salzburg mengubah sistem mereka dan kami kehilangan (penguasaan) bola yang mendatangkan masalah.

"Momentum permainan berubah dan amat sukar untuk kami kekal dalam perlawanan.

"Kami perlu menunggu sehingga mereka menjaringkan gol ketiga untuk kami kembali menyerang.

"Saya tidak berang, saya dapat lihat kami beraksi baik dan berusaha keras untuk kembali menguasai permainan dan menjaringkan gol yang amat cantik.

"Anda tidak perlu menjaringkan enam atau tujuh gol.

"Salzburg pasukan yang bagus tetapi sepanjang 30 minit pertama, kami memberikan kesukaran kepada mereka dan kami amat cemerlang.

"Saya memberitahu pemain, jika mereka mahu menikmati malam ini, mereka perlu kembali menguasai permainan.

"Kumpulan ini amat sukar tetapi kami mahukan tiga mata dan sekarang, ia kembali terbuka," katanya.

Gol daripada Hwang Hee-chan, Takumi Minamino dan Erling Haaland mengejutkan pendahulu Liga Perdana Inggeris itu sebelum Salah menjaringkan gol kemenangan pada 21 minit terakhir.

Penyerang Mersir itu mengakui bahawa Salzburg telah membuktikan reputasi mereka sebagai lawan yang berbahaya, dengan berkata: "Mereka menjadikannya sukar buat kami tetapi saya gembira untuk menjaringkan gol keempat dan kami menang."