Jurgen Klopp tidak menjangkakan Naby Keita akan terlibat dalam pertembungan Liga Juara-Juara (UCL) di antara Liverpool dan Atletico Madrid, awal pagi Khamis ini, berikutan kecederaan hamstring.

Pemain tengah Guinea itu terpaksa dikeluarkan hanya 19 minit permainan ketika mereka seri 2-2 dengan Brighton & Hove Albion, kelmarin, sekali gus khidmatnya diragui.

Klopp tidak dapat menawarkan banyak maklumat tentang keadaan anak buahnya itu sejurus selepas perlawanan apabila hanya mengesahkan ia adalah kecederaan berkaitan hamstring.

Pengurus itu sekurang-kurangnya perlu bersiap sedia untuk menentang Atletico di Anfield tanpa kelibat Keita tatkala The Reds berhasrat untuk menjamin tempat teratas Kumpulan B lebih awal.

Klopp memberitahu laman sesawang rasmi Liverpool: "Dia memberitahu saya sambil menunjukkan ke arah hamstringnya. Jadi, saya tidak tahu, kita akan lihat kelak."





Ia satu tamparan buat kelab Merseyside itu yang bergelut kehilangan beberapa tonggak di bahagian tengah, apatah lagi Keita dalam prestasi terbaiknya di Liverpool.

Kecederaan sering membelenggu pemain tengah tengah itu yang tampil dalam 16 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam musim pertamanya (2018-19) sejak dipancing daripada RB Leipzig.

Pada 2020-21, Keita diturunkan dalam 10 perlawanan liga atas lima masalah kecederaan berbeza hingga menyekat perkembangannya, tetapi musim ini dia sudah pun melakukan tujuh penampilan.