Jurgen Klopp tidak berasakan tekanan dalam usaha membawa Liverpool kembali beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL), sebaliknya melihat ia sebagai satu kejayaan yang sangat besar.

Juara Eropah lima kali itu tidak beraksi dalam kejohanan itu sejak musim 2014-15 ketika di bawah kendalian Brendan Rodgers, selepas menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat ketiga dan tersingkir ke saingan Liga Europa (UEL).

Klopp membimbing The Reds untuk menamatkan saingan di tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) -- musim penuh pertamanya dan dilihat sebagai pasukan pilihan untuk melayakkan diri ke saingan peringkat kumpulan UCL apabila menang perlawanan pertama play-off ke atas Hoffenheim 2-1.

Pengendali kelahiran Jerman itu menyatakan kebimbangan menghadapi kegagalan tidak akan menggugat pemain-pemainnay untuk menyempurnakan tugas mereka dalam aksi timbal balik di Anfield, awal pagi esok.

"Kembali beraksi dalam UCL adalah satu kejayaan buat kelab dan penyokong," kata Klopp.

"Kami tidak sabar untuk menghadapi perlawanan ini dan beraksi dalam peringkat kumpulan. Ia adalah satu kejohanan yang luar biasa.

"Saya memberikan jaminan pemain-pemain akan berjuang habis-habisan. Kami akan meraih kemenangan dalam perlawanan dan berharap akan membuktikan kepada dunia keupayaan sebenar kami."