Jurgen Klinsmann berpandangan Jurgen Klopp adalah pengurus sempurna buat Liverpool dan sudah merancang untuk menjulang lagi gelaran.

Klopp meraih trofi peratma bersama Liverpool hasil kemenangan 2-0 ke atas Tottenham dalam aksi final Liga Juara-Juara (UCL) di Madrid, Ahad lalu.

Rakan senegaranya, Klinsmann, berasakan bekas pengendali Borussia Dortmund itu sesuai dengan sempurna di Anfield.

"Klopp adalah seseorang yang anda mahu melihat berjaya. Dia sentiasa menghadirkan usaha dan bekerja keras," katanya.

"Cara dia memenangi hati semua orang di Liverpool dan menjadi sebahagian daripada mereka, muncul juara UCL merupakan gelaran yang istimewa.

"Klopp sangat sesuai bersama Liverpool kerana perwatakannya yang sangat merendah diri dan sentiasa berusaha mencapai sasaran yang telah ditetapkan," katanya.

Kejayaan merangkul UCL merupakan habuan selepas Liverpool mengharungi musim yang cemerlang, meraih 97 mata untuk menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di belakang juara, Manchester City.

Tetapi Klinsmann percaya pengurus berusia 51 tahun itu sudah bersedia dengan rancangan untuk meraih lebih banyak gelaran selepas ini.

"Klopp tidak akan berhenti dengan satu gelaran, dia akan berusaha untuk meraih lebih banyak gelaran selepas ini."