Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, menyemarakkan perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini di antara pasukannya dan Manchester City dengan gurauan dia "tidak sakit jantung" selepas mendengar juara bertahan itu meraih kemenangan.

Pilihan utama kejuaraan musim ini, Liverpool, meraih tiga keputusan seri dalam empat perlawanan terakhir, namun mereka bangkit dengan prestasi terbaik untuk menewaskan Watford 5-0 di Anfield, awal pagi tadi.

Jaringan berganda Sadio Mane dan Virgil van Dijk serta gol liga pertama Divock Origi sejak Disember lalu memastikan Liverpool mengekalkan kedudukan mereka, namun kekal berkelebihan hanya satu mata selepas City mencatat kemenangan 1-0 ke atas West Ham United -- dalam perlawanan yang berlangsung serentak.

Klopp mengakui dia hanya menumpukan kepada keputusan pasukannya dan tidak boleh terkejut dengan kemenangan yang diraih skuad kendalian Pep Guardiola itu.

Ditanya mengenai pandangannya tentang kemenangan City dan perebutan kejuaraan musim ini, Klopp memberitahu dalam sidang media: "Saya tidak berasakan anda perlu jawapan itu daripada saya. Kami hanya mahu turun beraksi dan memenangi perlawanan. Selepas itu baru kami akan lihat apa yang berlaku.

"Ia bukanlah apabila masuk ke bilik persalinan dan seseorang memberitahu saya keputusan itu lalu saya terkena serangan jantung.

"Ia perkara biasa. Apabila anda di puncak liga, ia perkara biasa untuk pencabar-pencabar lain turut meraih kemenangan. Ia memang begitu.

"Saya tidak memikirkan tentang City dan keputusan itu memang sudah dijangka," katanya.

Klopp gembira dengan prestasi yang dipamerkan pasukannya dan enggan melayani persoalan tentang kemerosotan prestasi Liverpool sebelum ini ketika mereka diikat seri oleh Bayern Munich dan Manchester United.

"Sudah tentu saya berasa gembira. Ia sememangnya perlawanan yang kami mahukan kemenangan.

"Ia adalah perlawanan di mana kami menang 5-0 dan semua pemain beraksi di tahap tertinggi dan anda masih perlu katakan yang kami memiliki jentera tengah terbaik dengan pertahanan terbaik dan penjaga gol dengan aksi menyelamat terbaik.

"Kemudian anda perlu lihat kekuatan lawan itu, perkara lain dalam perlawanan ini tidak penting lagi.

"Ia dapat dilihat daripada hantaran lintang, mereka memang bijak, kedudukan di dalam kawasan lawan, tandukan, semua perkara lain, larian, arah tuju dan gerakan teratur.

"Esok merupakan hari baru dan kami perlu memikirkan perkara baru, namun perlawanan hari ini amat hebat.

"Saya amat gembira untuk pemain saya kerana mereka sememangnya layak menang.

"Apabila kami seri dengan Bayern dan United, semua orang bercakap tentangnya.

"Saya tidak tahu tentang apa yang diperkatakan, namun ada beberapa perkara yang saya tidak faham.

"Ia sentiasa tentang cara memberikan reaksi, namun bukan reaksi seperti yang kami sedang katakan.

"Kami mahu beraksi seperti ini setiap hari.

"Adakalanya ia menjadi, adakalanya tidak.

"Namun, kami perlu menjadi stabil.

"Pemain saya sentiasa stabil dan sentiasa lancar dalam menyerang.

"Ia bagus. Ia contoh yang bagus sebagaimana harus berlaku dalam bola sepak.

"Kami akan mencuba untuk terus mengulanginya," katanya.