CRYSTAL PALACE 0 LIVERPOOL 2

Jurgen Klopp menyanjungi sikap bersatu padu skuadnya pada saat-saat sukar selepas Liverpool mengakhiri ujian musim ini dengan mengesahkan tempat dalam Liga Juara-Juara (UCL).


Di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) pada awal tahun ini, misi The Reds untuk mempertahankan gelaran mula terjejas sebaik Virgil van Dijk, Joel Matip, Joe Gomez dan ramai lagi dilanda kecederaan.

Wakil Merseyside itu menduduki tangga kelapan dengan 10 perlawanan -- tujuh mata di belakang pencabar yang menguasai tempat keempat, Chelsea, manakala 10 mata dipisahkan dengan Leicester yang berada di tempat ketiga.

Begitupun, lapan kemenangan dan dua seri yang dilakar -- termasuk kemenangan ke atas Crystal Palace pada hari terakhir, tengah malam tadi -- menyaksikan mereka melonjak ke tangga ketiga sekali gus menempah tempat dalam kejohanan utama Eropah.

Gol daripada Sadio Mane dalam setiap babak di London itu menjejaskan hasrat Roy Hodgson untuk menoktahkan karier pengurusannya dengan menarik.





Justeru, Klopp amat senang hati melihat pemainnya berjaya menangani setiap cabaran yang dilemparkan bagi menikmati akhir musim yang berjaya.

Dia berkata: "Hebat, sangat hebat, luar biasa. Dari luar anda tidak akan memahaminya kerana berpandangan kami adalah Liverpool: kami harus beraksi baik, kami harus menang, kami harus menjadi juara atau apa sahaja.

"Tahun ini (untuk mencabar kejuaraan) adalah mustahil jadi kami harus berjuang dan pada saat-saat sukar, kami menimba banyak pelajaran. Pada saat-saat getir kami mungkin berdepan banyak karenah tetapi kami benar-benar bersatu sepanjang masa.

"Tiada perbalahan mahupun perselisihan, kami cuma tahu wujudnya kesukaran dan kami harus perbaikinya. Bola sepak adalah satu permainan berdasarkan keyakinan dan kami tidak mempunyai banyak peluang untuk menyuntik keyakinan.

"Kami sentiasa dapat menyelesaikan masalah dan sangat bagus untuk melihat kami dapat menggunakan lima, enam, tujuh minggu terakhir ini demi mengubah keadaan.

"Saya sangat gembira mengenai UCL memandangkan kami tidak ketinggalan! Jadi, kami layak, ia akan menjadi sesuatu yang hebat, saya tidak sabar-sabar lagi untuk itu. Ini satu pencapaian luar biasa daripada pemain saya."



Klopp juga ditanya mengenai kedudukan Georginio Wijnaldum, yang mengesahkan akan berkelana selepas lima tahunnya di Anfield sebaik kontraknya tamat pada 1 Julai depan.

"Setiap kelab yang berminat dengannya harus menelefon saya dan bertanya tentangnya. Kemudian dia boleh ditandangani kerana saya begitu positif terhadap khidmatnya di sini.

"Ia luar biasa. Kelibatnya bukan sahaja selalu ada, malah dia sentiasa mengekalkan tahapnya setinggi 90 peratus untuk mempamerkan aksi yang benar-benar bagus."