Jurgen Klopp mengesahkan bahawa pemain Liverpool, Adam Lallana, sudah cergas menjelang aksi final Liga Juara-Juara Eropah dan juga saingan Piala Dunia 2018.

Pemain tengah England itu berdepan kekangan beraksi pada musim ini akibat episod kecederaan yang berulang, sekali gus menyebabkannya sekadar memulakan satu aksi Liga Perdana Inggeris dan hanya bertahan selama 324 saat selepas dimasukkan ketika perlawanan menentang Crystal Palace, Mac lalu.

Bagaimanapun, Klopp mendedahkan pemain berusia 30 tahun itu bersedia untuk memainkan peranan utama pada minggu-minggu terakhir musim 2017/18, bermula dengan pertemuan liga menentang Brighton and Hove Albion esok.

“Adam telah menjalani latihan seperti biasa sejak seminggu lalu,” kata Klopp.

“Semalam dia menjalani latihan normal selepas lama tanpa aksi bola sepak dan Lallana tampak bagus.

“Semestinya ia sesuatu yang sempurna untuknya beraksi dan kita akan tahu sama ada dia akan berpeluang untuk bermain atau tidak. Apa yang penting, dia telah cergas.”

Tatkala Lallana di landasan terbaik untuk kembali, perkhabaran baik tidak dapat diraih daripada perkembangan rakan sepasukannya, Joe Gomez, yang sah terlepas kedua-dua aksi Liga Juara-Juara dan Piala Dunia.

Gomez mengalami masalah kecederaan buku lali ketika aksi liga bertemu Stoke City dan Stoke -- yang memerlukan pembedahan -- beraksi menahan kesakitan di sepanjang perlawanan.

“Kami bercakap tentangnya beberapa kali dan dia melakukan pengorbanan.

“Situasi itu berlaku di awal permainan dan dia tidak mempamerkan aksi terbaik tetapi dia tetap mahu membantu pasukan.

“Semestinya itu bukan satu keputusan yang bijak tetapi ia sangat berani dan membanggakan,” tambah Klopp.