Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, memuji persembahan pertahanan, Dejan Lovren, yang memainkan peranan penting buat Croatia mara ke final Piala Dunia.

Ulasan Klopp terhadap Lovren hadir menerusi prestasi semasa pemain itu, termasuk dengan beraksi dalam aksi final Liga Juara-Juara (UCL), dan mencadangkan orang lain melihat Lovren sebagai salah seorang pertahanan terbaik dunia.

Lovren kerap kali melakukan kesilapan bersama Liverpool tetapi Klopp berasakan penilaian itu sekadar diperbesar-besarkan.

"Orang lain memang gemar mengadili kesilapan seseorang pemain. Sejak saya tiba di Anfield, Lovren telah melakukan tiga atau empat kesilapan, dua daripadanya hadir dalam perlawanan berdepan Tottenham. Apa yang saya pasti adalah ia bukan 15 atau 20 kesilapan," kata Klopp.

"Kesilapan dalam padang berlaku kepada mana-mana pemain.

"Lovren telah mengharungi kejohanan yang menakjubkan setakat ini. Saya sangat gembira untuknya. Ia merupakan negara yang kecil tetapi memiliki pemain-pemain yang berbakat."

Croatia menewaskan England dalam aksi separuh akhir Piala Dunia, awal pagi semalam, untuk menempah slot perlawanan akhir di Moscow berdepan Perancis, Ahad ini.

Menewaskan Denmark dan Russia menerusi penentuan sepakan penalti, menjadikan Croatia pasukan pertama mara ke final menerusi tiga kemenangan berturut-turut dalam masa tambahan.

Ini merupakan kali pertama negara Balkan itu mara ke final -- memperbaiki pencapaian edisi '98 apabila negara itu mara ke separuh akhir sebelum disingkirkan Perancis.