EVERTON 1 LIVERPOOL 4

Jurgen Klopp menganggap kemenangan 4-1 Liverpool ke atas seteru setempat, Everton, dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi merupakan aksi terbaik mereka di Goodison Park sepanjang beberapa tahun ini.

Jordan Henderson membuka jaringan sebelum membantu gol yang disudahkan Mohamed Salah untuk menjadi kapten Liverpool pertama menghasilkan gol dan bantuan jaringan dalam satu perlawanan EPL di gelanggang Everton sejak 2005.

Salah, yang terlibat dengan sekurang-kurangnya satu gol sepanjang 12 perlawanan liga terakhir, kemudian menjaringkan gol kedua peribadinya untuk menjadi pemain The Reds pertama menghasilkan jaringan berganda di gelanggang lawan dalam 'derby' Merseyside sejak September 2008.

Diogo Jota kemudian melengkapkan gol keempat Liverpool, sekali gus menjadikan usaha Demarai Gray merapatkan jurang kepada 1-2 pada penghujung babak pertama sekadar menjadi gol sagu hati buat skuad bimbingan Rafael Benitez itu.

Klopp, yang sebelumnya tewas 0-2 kepada Everton dalam aksi liga terakhir, memuji persembahan Liverpool dan berasa lega dapat meraih kemenangan di gelanggang lawan itu.

"Ia persembahan yang amat baik daripada pasukan saya, prestasi yang amat matang, prestasi yang amat dewasa, jauh lebih baik daripada beberapa tahun lalu, terutama di Goodison Park," kata Klopp kepada Amazon Prime Video selepas perlawanan itu

"Kami terlalu terbuka ketika kami membenarkan gol mereka tetapi ia boleh berlaku apabila anda pasukan yang lebih baik

"Kami sepatutnya sudah menjadikan kedudukan 1-0 atau 2-0 sebelum gol pembukaan itu.

"Kami mendahului 2-0 dan mungkin kami tidak cukup kejam, kami membenarkan mereka kembali bernyawa. Saya tidak mencari kesempurnaan, jika ia boleh menjadi lebih mudah, saya tahu semua orang boleh melakukannya.

"Pemain kami melakukannya dengan amat baik," katanya.

Liverpool kini menduduki tangga ketiga EPL dengan ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Chelsea, selepas empat perlawanan.