LIVERPOOL 2 TOTTENHAM 0

Jurgen Klopp berkata skuad Liverpool kendaliannya telah berusaha sedaya-upaya ketika melakar kemenangan 2-0 ke atas Tottenham dalam aksi final Liga Juara-Juara (UCL) di Madrid, awal pagi tadi.

Mohamed Salah memberi gol pendahuluan buat The Reds pada minit kedua di Wanda Metropolitano selepas bola terkena tangan Moussa Sissoko di dalam kotak penalti.

Liverpool bergelut sepanjang permainan hingga jaringan pada minit ke-87 oleh pemain gantian, Divock Origi, melengkapkan kemenangan mereka.

Kali terakhir skuad kendalian Klopp itu beraksi adalah tiga minggu lalu ketika mengejar pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City, sebelum mereka menamatkan saingan di tempat kedua dengan perbezaan hanya satu mata.

Namun, bekas pengendali Borussia Dortmund itu, yang menamatkan rekod kekalahan dalam enam aksi final berturut-turut, berasakan kehebatan musim ini jelas terbukti menerusi persembahan pasukannya.

"Saya sangat gembira dengan pemain-pemain, penyokong dan keluarga saya," kata Klopp.

"Mereka terpaksa merana setiap tahun apabila kami ke final. Perlawanan terakhir musim (dalam liga sebelum ini) dan kami tewas. Mereka berhak meraih kemenangan ini.

"Kami memiliki penjaga gol, Alisson, yang membuat setiap perkara yang sukar kelihatan mudah. Cantik, terima kasih banyak-banyak.

"Sukar dipercayai, ia malam yang hebat. Menunjukkan piala ini kepada penyokong – ia mungkin malam terbaik sepanjang hayat saya daripada sudut profesional.

“Jelas sekali ia mengambil sedikit masa, kami telah mencuba banyak kali. Ia penting untuk pembangunan dan peningkatan kami.

“Kami melakukan langkah-langkah yang baik tetapi orang menyoal, “Kenapa anda tidak menang apa-apa? Jadi, pencapaian ini banyak membantu,” katanya lagi.