Rafael Benitez mungkin dianggap sebagai legenda Liverpool tetapi Jurgen Klopp berazam untuk tidak lagi memberikan hadiah buat pengendali Newcastle United itu minggu ini.

Dalam dua pertemuan berdepan Benitez, Klopp berasakan Liverpool telah menghadiahkan mata kepada Newcastle.

Ia merupakan satu perkara yang mahu dielakkan Klopp minggu ini apabila Benitez kembali ke Anfield di mana beliau merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara (UCL) pada 2005.

Pengendali berusia 57 tahun itu masih lagi dipandang tinggi di padang keramat itu tetapi skuad kendalian Klopp tidak memandang ringan mengenai aksi hari ini.

"Beliau adalah legenda Liverpool," kata Klopp.

"Beliau merupakan salah seorang pengendali terbaik di dunia, dan mereka mampu memberikan kesukaran buat kami.

"Saya menggemari Benitez tetapi kami tidak akan memberikan hadiah kepadanya! Liverpool akan memastikan kemenangan akan diraih dalam perlawanan ini," ujarnya.

Liverpool tanpa Ben Woodburn dan Georginio Wijnaldum ekoran masalah kesihatan manakala Nathaniel Clyne masih lagi berusaha untuk mendapatkan tahap kecergasan terbaik.