Jurgen Klopp menganggap Liverpool kurang menampilkan rentak sebenar ketika seri 0-0 dengan Manchester United tengah malam tadi kerana didorong oleh krisis kecederaan yang melanda kem tuan rumah dalam babak pertama.

United terpaksa menggunakan ketiga-tiga pemain gantian mereka sebelum rehat dalam aksi di Old Trafford itu selepas Ander Herrera, Juan Mata dan Jesse Lingard terpaksa dikeluarkan ekoran kecederaan.

Pemain Liverpool, Roberto Firmino, juga menamatkan permainannya lebih awal ekoran masalah pergelangan kaki.

Meskipun keputusan seri itu sudah cukup untuk melonjakkan kembali pasukan kendaliannya ke persada Liga Perdana Inggeris (EPL), Klopp berasakan rombakan pemain yang terpaksa dilakukan United telah mengendurkan corak permainan barisan pemainnya dengan menegaskan mereka tercicir dua mata.

"Ia situasi yang sukar, perlawanan yang aneh," kata Klopp kepada Sky Sports. "Kami bermula dengan begitu lancar seperti yang kami hajati.

"Kemudian krisis kecederaan bermula dan jelas sekali ia mengganggu rentak permainan kami. Pemain kebingungan seperti: 'Apa yang berlaku sekarang?'

"United bagaikan menampilkan gandingan tengah yang baru dan tiga rangkaian penyerang yang hampir baru. Kami kehilangan rentak dan gagal menyerlahkannya.

"Ia adalah satu perlawanan tanpa banyak aksi-aksi menarik. Ia sengit tetapi bagi United, mereka seperti memenangi satu mata. Bagi kami pula, kami kehilangan dua mata.

"Pada hari ketika United boleh dikalahkan, kami sepatutnya melakukannya tetapi kami gagal."

Firmino dilaporkan meninggalkan gelanggang selepas perlawanan itu dengan bertongkat dan Klopp mengakui kehilangan pemain Brazil berkenaan untuk tempoh yang panjang merupakan satu tamparan besar.

"Kesemua kecederaan ini agak pelik," katanya. "Semua pemain beraksi dengan begitu berhati-hati.

"Ia berlaku ke atas pemain kami, Bobby (Firmino). Ia juga merupakan satu malapetaka bagi kami tetapi saya gembira kami hanya ditimpa satu masalah (kecederaan).

"Semoga ia tidak terlalu serius -- saya belum pasti lagi setakat ini."