Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, tidak gembira dengan reaksi media Jerman susulan aksi skuad kebangsaan yang mengecewakan dalam Piala Dunia dan menggesa agar pasukan bimbingan Joachim Low itu diberikan peluang untuk mengembalikan kepercayaan.

Jerman terikat seri tanpa jaringan dengan Perancis dalam aksi pembukaan Liga Negara-Negara UEFA, Jumaat lalu, di mana mereka beraksi buat kali pertama sejak penyingkiran peringkat kumpulan di Russia, 27 Jun lalu.

Tewas di tangan Korea Selatan dan Mexico sambil menundukkan Sweden dalam satu perlawanan dramatik, skuad Die Mannschaft mempamerkan aksi terburuk dalam tempoh 80 tahun di pentas Piala Dunia tetapi Klopp tetap mengecam reaksi yang ditunjukkan oleh orang ramai dan media.

Ditanya sama ada kritikan yang diterima Jerman itu sesuatu yang adil, dia memberitahu barisan wartawan: "Tidak.

"Jika saya seorang penyokong Jerman, saya tidak akan mengatakan apa-apa kerana media tidak dapat menghadapinya.

"Melihat kepada cara media dan seluruh negara menerima penyingkiran di peringkat kumpulan itu, ia sesuatu yang gila. Ketua jurulatih harus memberi penjelasan untuk dirinya sendiri serta seluruh negara.

"Orang ramai telah melakukan perkara sama selama 100 tahun dan ia tidak berkesan. Bagi saya, ia melampau.

"Jadi, cuba bertenang dan biarkan mereka bermain bola sepak. Saya berjanji kepada anda, Jerman akan kembali memenangi perlawanan."

Sementara itu, penyerang Vissel Kobe, Lukas Podolski, yang telah bersara daripada arena antarabangsa selepas menjaringkan gol kemenangan ketika menundukkan England 1-0 pada Mac 2017, mempertahankan anak-anak buah Low dan yakin mereka akan memulihkan prestasi bagi melayakkan diri ke pentas EURO 2020.

"Saya tidak dapat melihat pengganti kepada Low. Anda tidak boleh lupakan apa yang telah Low sumbang kepada bola sepak Jerman dalam kurang daripada 10 tahun," ujar Podolski.

"Jika anda sukar menerima penyingkiran daripada kejohanan, anda harus memberikan Low pujian.

"Kini, segala-galanya telah bersedia untuk saingan EURO 2020. Low akan mencuba beberapa perkara untuk memastikan pasukan bimbingannya kembali ke landasan sebenar."