Jurgen Klopp menolak idea bahawa Liverpool akan meraih manfaat daripada jadual yang memihak pasukannya tatkala kelab-kelab di seluruh United Kingdom (UK) sedang bersiap sedia untuk menghadapi peningkatan suhu di sana.

Seluruh kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) dijangka bergelut dengan cuaca panas menjelang perhitungan hujung minggu ini yang menyaksikan pasukan kendalian Klopp itu akan menjadi tuan rumah kepada Crystal Palace pada malam Isnin (3 pagi Selasa waktu Malaysia).

Pengurus The Reds itu -- tercicir mata selepas seri 2-2 dengan Fulham minggu lalu -- tidak menolak adalah lebih baik bermain pada malam sambil menegaskan Palace turut berdepan situasi sama.

“Adalah lebih baik beraksi waktu malam berbanding waktu-waktu lain, malah Crystal Palace juga memiliki kelebihan yang sama,” katanya.





"Sudah tentu kami akan lebih selesa bermain pada waktu itu tetapi ia tidak sepatutnya menjadi perlawanan yang selesa. Ia sepatutnya sangat rancak."

Ketika soalan penjadualan itu dilanjutkan, Klopp yang berasa jengkel menjawab: "Inikah butiran yang anda petik daripada jawapan saya, bahawa kami dibantu oleh jadual perlawanan?

"Kedua-dua pasukan bernasib baik dan kami sekali lagi akan berentap secara adil. Lainlah kalau kami perlu beraksi pada sebelah malam, Crystal Palace sebaliknya terpaksa bermain dalam keadaan panas seperti di bawah suhu 30 darjah celsius. Jadi itu pasti memberi kelebihan sebenar.

"Tetapi ia hanya perlawanan yang dilangsung pada waktu malam."