Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, berikrar akan menghormati Liga Europa sekiranya The Reds layak ke pentas divisyen kedua benua itu.

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019-20 itu kini menghuni tangga keenam, empat mata di belakang Chelsea yang menguasai kedudukan keempat -- kelayakan terakhir Liga Juara-Juara (UCL) dengan baki lima perlawanan lagi.

Situasi itu menyaksikan Liverpool bakal tampil dalam Liga Europa musim depan buat pertama kalinya sejak 2015-16.

"Sejak saya berada di England, kami hanya pernah beraksi dalam Liga Europa sekali dan kami mara ke final (menentang Sevilla pada 2016), jadi ia kempen yang bagus selain daripada final itu," kata Klopp.




"Malam tadi saya menyaksikan Man United sangat menikmati kempen Liga Europa.

"Ini jelas bergantung kepada persaingan dan situasi semasa dan begitulah keadaannya. Kami tidak akan menganggap bahawa ia adalah seperti keadaan terpaksa.

"Ini adalah satu kejohanan yang hebat dan saya belum memikirkannya sejauh itu kerana saya tahu walaupun peluang tipis (untuk layak ke UCL), kami harus terus mencuba dan memikirkan apa berlaku musim depan. "

Kelab dari Merseyside itu akan bertandang ke gelanggang seteru ketat yang menghuni tempat kedua, Manchester United, malam esok dalam usaha mereka mengekalkan aspirasi empat teratas.

"Lima kemenangan tidak mencukupi, ia masih bergantung kepada pencapaian pasukan lain yang berpeluang lebih cerah tetapi tanpa lima kemenangan ini, kami langsung tidak akan berpeluang," tambahnya.

"Man United masih menganggap mereka boleh muncul juara, jadi kami perlu fikir bahawa kami masih boleh mara ke UCL, namun kami memerlukan keputusan perlawanan lain memihak kami. Kami menyedarinya."