Jurgen Klopp menepis kritikan yang melanda Liverpool dengan menyatakan ia bukan peluang terakhir buat pasukannya untuk memenangi Liga Perdana Inggeris musim ini.

Liverpool sedang menghadapi fasa kemerosotan prestasi dengan hanya berkelebihan satu mata di puncak liga selepas sekadar seri dalam tiga daripada empat perlawanan terakhir mereka.

Keadaan The Reds, yang tidak pernah menjuarai Liga Perdana sejak 1990, mendorong tekanan yang lebih berat untuk pasukan itu menamatkan penantian tersebut musim ini.

Namun, menjelang perlawanan menentang Watford awal pagi esok, Klopp memperingatkan pengkritik pasukannya bahawa peluang lain akan sentiasa tiba.

"Ia bukan peluang terakhir kami, itu adalah perkara terpenting. Ia merupakan peluang pertama kami. Ia ada perbezaan yang besar," kata pengendali kelahiran Jerman itu.

"Adakah ia satu-satunya peluang kami untuk bergelar juara? Saya tidak pasti.

"Dengan peluang pertama ini, kami perlu mencuba untuk melihat sama ada ia berjaya atau tidak.

"Adakalanya ia berjaya, adakalanya tidak.

"Ia bukan peluang terakhir kami, 100 peratus tidak," katanya.

Walaupun memaparkan peningkatan daripada segi pertahanan, Liverpool hanya menjaringkan lima gol dalam lima penampilan terakhir mereka -- termasuk keputusan 0-0 dengan Manchester United hujung minggu lalu.

Klopp mempersoalkan kritikan yang dilemparkan terhadap pasukannya itu dengan berkata akan sentiasa tiba waktu sukar yang perlu dilalui pasukannya.

"Jika kami menang 1-0, kami perlu menjawab mengapa kami tidak menang dengan keputusan yang lebih baik.

"Jika kami seri, kami perlu menjelaskan mengapa kami tidak menang 1-0.

"Saya sedar saya tidak kelihatan gembira ketika aksi separuh masa kedua di United, namun ia memang seperti itu.

"Ia merupakan kerja keras.

"Sudah tentu terdapat pasukan sebelum kami yang cuba untuk bergelar juara dan tidak berjaya, jadi perkara seperti itu akan sentiasa ada.

"Akan ada situasi di mana jika anda tidak memiliki kelebihan 25 mata, ia akan menjadi musim yang sukar.

"Leicester City pernah melaluinya, Chelsea juga begitu.

"Hanya City yang tidak berdepan situasi itu musim lalu.

"Selain itu, ia kerap berlaku.

"Sedangkan Barcelona juga bergelut di Sepanyol," katanya.