LIVERPOOL 4 ARSENAL 0

Jurgen Klopp menjelaskan bahawa pertelingkahannya dengan Mikel Arteta adalah kerana pengurus Arsenal itu dan staff kejurulatihannya cuba untuk membuat Sadio Mane dibuang padang ketika Liverpool membelasah lawan itu 4-0 di Anfield awal pagi tadi.

Mane, yang telah mengumpulkan lapan gol sepanjang bertemu Arsenal, membuka jaringan dalam babak pertama sebelum Diogo Jota, Mohamed Salah dan Takumi Minamino turut menemui sasaran untuk Liverpool melonjak ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL).

Gol tandukan penyerang Senegal itu tiba tidak lama selepas pertengkaran di antara pengurus di tepi padang, selepas Mane terlibat dengan satu pertembungan dengan Takehiro Tomiyasu.

Arteta dan stafnya kelihatan berang kerana beranggapan Mane dengan sengaja menyiku pertahanan Arsenal itu.

Klopp bertindak balas dan berlaku perbalahan lisan sebelum ia dileraikan pengadil, Michael Oliver, yang melayangkan kad kuning buat kedua-dua pengurus berkenaan.

Ditanya Sky Sports mengenai insiden itu, Klopp berkata: "Ia mengenai situasi di mana tiada faul buat Sadio tetapi mereka di bangku Arsenal bangkit seperti ia sepatutnya kad merah. Saya bertanya apa yang mereka mahu daripada situasi itu?

"Kami mungkin tidak dapat menurunkan Sadio menentang Atletico (Madrid dalam Liga Juara-Juara Eropah) kerana mereka mahu dia dilayangkan kad kuning.

"Pengadil melakukan tugasnya dengan amat baik dalam situasi ini. Saya layak mendapat kad kuning. Ia bukan sesuatu yang OK tetapi itulah yang saya katakan. Ia berlaku pada momen itu," katanya.



Arteta juga memberikan penjelasannya mengenai insiden itu.

"Dia mempertahankan pasukannya, saya mempertahankan pasukan saya, itu sahaja.

"Ia tiada masalah, perkara itu hanya di dalam padang," kata Arteta kepada Sky Sports.