MILAN 1 LIVERPOOL 2

Jurgen Klopp amat berbangga dengan pencapaian Liverpool selepas mereka merakamkan rekod sempurna di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL) dengan kemenangan di Milan, awal pagi tadi.


Walaupun The Reds sudah mengesahkan kedudukan sebagai juara kumpulan, mereka menjadi kelab England pertama yang meraih kemenangan sempurna pada awal kempen dengan mempamerkan aksi dominan untuk meraih kejayaan 2-1 di San Siro.

Malah, rentak mereka tidak terjejas meskipun Klopp membuatkan lapan perubahan.

Dia memberitahu BT Sport: "Jadual padat benar-benar sukar. Kami perlu sentiasa bersemangat untuk perlawanan seterusnya dan apa yang dilakukan oleh anak buah saya malam ini cukup membanggakan.

“Ia adalah satu perlawanan yang luar biasa, saya sangat gembira dengan banyak perkara yang saya saksikan malam ini dan sudah tentu, kemenangan ini juga hebat.

"Tetapi mereka mempamerkan mutu persembahan yang benar-benar luar biasa; mereka mempunyai 21 percubaan dan ia dipatahkan oleh kami.

"Terdapat begitu banyak situasi yang menyaksikan kami kental bertahan dengan semangat dan organisasi yang bagus. Banyak lagi perkara menarik yang saya tonton malam ini, saya sangat gembira."




Klopp seterusnya memuji tiga bintangnya yang mengekalkan tempat dalam barisan utama yang mencipta kemenangan ke atas Wolves, hujung minggu lalu: Alisson, Mohamed Salah dan Sadio Mane.

Pengurus berbangsa Jerman itu amat berpuas hati dengan kemahuan yang ditunjukkan ketiga-tiganya yang sentiasa bekerja keras termasuk usaha menggagalkan gerakan lawan.

Tambah Klopp: "Saya perlu katakan, kami membuat lapan kali pertukaran tetapi Ali merupakan seorang penjaga gol dan begitu terdesak untuk bermain.

“Begitu juga dengan Sadio dan Mo, corak permainan mereka pada malam ini benar-benar luar biasa menerusi kualiti dan tahap fizikal yang mereka tonjolkan dalam perlawanan seperti ini, mereka banyak membantu ketika bertahan, ia sememangnya luar biasa.

“Mo menjaringkan gol pertama, Sadio pula menyumbangkan gerakan untuk gol kedua (yang diledak Divock Origi), mereka memang layak.

"Jadi, ia adalah gabungan pemain yang cergas dan berkualiti. Ia satu gandingan yang sangat bagus."

Pemain tengah remaja, Tyler Morton, turut dipuji selepas mempamerkan satu lagi prestasi mengagumkan ketika membarisi skuad utama dalam aksi UCL kedua buatnya.