Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, mencabar pemain muda, Harvey Elliot, untuk "mengambil langkah seterusnya" di Anfield musim ini.

Elliott telah melakukan sembilan penampilan bersama Liverpool dan mula menyerlah sebaik dipinjamkan ke Blackburn Rovers dalam Liga Kejuaraan musim lalu .

Pemain berusia 18 tahun itu menghasilkan tujuh gol dan 11 bantuan jaringan dalam 41 penampilan liga buat Blackburn dan berharap mampu memikat hati Klopp untuk tersenarai selaku pemain utama Liverpool musim 2021-22.

Hanya ada dua pemain lain merekodkan lebih banyak bantuan jaringan berbanding Elliott dalam Liga Kejuaraan -- Emiliano Buendia (16) dan Michael Olise (12).

Elliot dijangka akan diturunkan dalam dua perlawanan persahabatan mini selama 30 minit menentang Wacker Innsbruck dan Stuttgart esok sebelum menghadapi Mainz dalam satu lagi perlawanan pemanas badan Sabtu ini.

"Harvey sudah memulakan langkahnya, saya perlu katakan seperti itu. Dia kelihatan berada dalam keadaan terbaik, amat-amat cergas, kata Klopp dalam laman web rasmi pasukan itu.

"Dia kembali dengan keadaan yang baik dan jelas berada di sini untuk menjalani latihan penuh.

"Anda dapat lihat tahun lalu benar-benar berkesan buatnya. Kini ayuh mulakan langkah seterusnya bersama-sama," katanya.