Xherdan Shaqiri dijangka akan meninggalkan Liverpool dalam masa terdekat selepas Jurgen Klopp mengesahkan bahawa pemain tengah itu tidak dipilih ketika pasukan itu tewas kepada Arsenal dalam Piala EFL awal pagi tadi kerana sesuatu telah berlaku "di belakang tabir".

Pemain kebangsaan Switzerland itu pada awalnya dijangka akan membarisi kesebelasan utama menentang Arsenal di Anfield selepas mempamerkan aksi hebat dalam pusingan ketiga menentang Lincoln City minggu lalu -- menjaringkan gol gemilang daripada sepakan percuma.

Harry Wilson dipilih untuk menggantikan tempatnya tetapi Klopp berkata selepas tamat perlawanan itu -- di mana Arsenal menang 5-4 dalam penentuan penalti -- bahawa dia tidak mempunyai pilihan untuk meletakkan bekas pemain Stoke City berkenaan dalam senarai pemainnya.

Ditanya mengenai ketiadaan Shaqiri, Klopp berkata kepada Sky Sports: "Sesetengah mereka tidak terlibat. Ia adalah waktu pada tahun ini di mana sesuatu telah berlaku di belakang tabir dan anda perlu memberikan reaksi. Itulah yang kami lakukan."

Liverpool jelas berbeza berbanding ketika menewaskan Arsenal 3-1 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) tiga hari lalu dan walaupun tewas, Klopp mendapati prestasi Liverpool dalam perlawanan itu masih membuatkannya teruja.

"Jika akan ada pemenang dalam tempoh 90 minit, pemenang itu sudah pasti kami tetapi kita bukannya berada dalam dunia mimpi. Anda perlu menjaringkan gol.

"Saya menggemari banyak perkara dalam perlawanan ini. Kami banyak menggabungkannya dan saya dapat lihat prestasi yang amat kemas.

"Penentuan penalti amat rumit, semua tahu mengenainya.

"Saya amat gemar dengan apa yang pemain kami lakukan. Terdapat banyak prestasi individu yang bagus.

"Ia hampir sama seperti perlawanan EPL tetapi disini, kami kekurangan daripada segi hantaran terakhir.

"Tidak banyak peluang tercipta dalam perlawanan ini kerana terdapat banyak pergerakan daripada kedua-dua pasukan untuk menghalang sesama sendiri," katanya lagi.