Jurgen Klopp menganggap Manchester City sebagai "pasukan terbaik Eropah" di kala mempersiapkan Liverpool menghadapi lawan itu dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield malam esok.

Liverpool merupakan satu-satunya pasukan yang masih belum tewas selepas enam perlawanan EPL musim ini dan tidak pernah tewas sepanjang 16 perlawanan liga terakhir untuk kini berada di tangga teratas dengan kelebihan satu mata.

Bagaimanapun, City merekodkan jumlah bolos paling rendah musim ini (satu) dan The Reds hanya memenangi satu daripada tujuh perlawanan dalam kesemua kejohanan menentang skuad bimbingan Pep Guardiola itu.

Klopp, yang berdepan rekod kekalahan paling tinggi ketika menentang Guardiola dalam kesemua kejohanan (lapan), menyedari cabaran yang akan dihadapi pasukannya menjelang pertemuan dua pasukan gergasi itu di Anfield.

"Bagi saya, Manchester City adalah pasukan terbaik di Eropah buat ketika ini," kata Klopp kepada wartawan dalam sidang media sebelum perlawanan itu.

"Minggu lalu, mereka berdepan Chelsea dan kedua-dua pasukan itu amat bagus tetapi City jelas pasukan yang lebih bagus dalam perlawanan itu. Merekalah yang akan kami lawan.

"Kami perlu menjaringkan gol agar ia dapat membantu tetapi kami perlu bertahan pada tahap terbaik. Kami perlu berani, berada di depan dan bertindak licik pada satu-satu masa, memberikan aksi terbaik dan kemudian, barulah kami memiliki peluang.

"Apa yang telah kami lakukan minggu lalu atau hari-hari sebelumnya sudah cukup baik tetapi kami memerlukan satu cabaran bola sepak yang kompleks.

"Ia lebih baik apabila kami tidak memerlukan peningkatan keyakinan daripada pemain yang kami ada ketika ini. Adakalanya, anda melakukannya dari semasa ke semasa.

"Kami memerlukan pandangan yang positif tetapi kami sedar kami masih belum bertemu City. Kami akan menggunakan perlawanan Chelsea dan Paris Saint-Germain (PSG) sebagai rujukan. Ini perlawanan yang istimewa," katanya.