LIVERPOOL 3 MILAN 2

Jurgen Klopp berasakan Liverpool terbawa-bawa dengan corak permainan sendiri ketika melepaskan pendahuluan sebelum bangkit untuk menang 3-2 ke atas Milan, sebentar tadi.


Gol sendiri oleh Fikayo Tomori meletakkan Liverpool di depan pada minit ke-9 untuk membuka kempen Liga Juara-Juara (UCL) musim ini di Anfield sambil sepakan penalti Mohamed Salah ditepis Mike Maignan.

Dua gol dalam tempoh sesingkat 110 saat mengubah senario perlawanan itu apabila Ante Rebic dan Brahim Diaz memberi kelebihan kepada Milan -- yang beraksi dalam UCL pertama mereka sejak 2014 -- ketika penghujung separuh masa pertama.

Namun, Salah menebus kesilapan awalnya itu sebaik tiga minit permainan bersambung disusuli percubaan jarak jauh luar biasa daripada Jordan Henderson -- gol pertamanya di pentas Eropah selepas 2,485 hari -- untuk menyempurnakan kebangkitan The Reds bagi menerajui Kumpulan B.

Klopp membuat empat pertukaran selepas meraih kemenangan Liga Perdana Inggeris (EPL) ke atas Leeds United apabila Joe Gomez bermula di pertahanan sementara Divock Origi mengetuai jentera serangan.

Dia berasakan perubahan itu memberi kesan kepada barisan kendaliannya hingga gagal mencengkam permainan untuk beberapa ketika.

Dia berkata kepada BT Sport: "Kami bermula dengan sangat baik. Kami beraksi dengan cukup baik sekali. Ini satu perlawanan yang sengit tetapi menarik. Kami beraksi di segenap ruang dan tidak memberi sebarang ruang kepada mereka sehinggalah... saya tidak pasti mengenainya dengan tepat. Kami dihukum dalam beberapa minit terakhir babak pertama tetapi ia sebenarnya bermula lebih awal lagi.

"Kami terbawa-bawa dengan permainan sendiri. Kami tidak lagi bermain dengan mudah, baik ketika mengasak mahupun bertahan, kami tidak lagi teratur.

"Apabila kami teratur, Fabinho bertindak luar biasa dan dia dapat mengatasi semua cabaran yang kami perlukan. Apabila ruang terlalu besar, dia tidak lagi dapat bertindak.

"Mereka menghidu ruang di celah pemain kami lalu menjaringkan dua gol. Malah saya tidak berasakan bahawa kami mampu bangkit. Jelas sekali kami perlu bangkit dengan segera sebagaimana kami bermula. Kemudian secara jujurnya kami meledak gol-gol cantik. Kedua-duanya luar biasa.

"Kami memang berhak tetapi kami berdepan detik 10 minit yang menyaksikan Milan hampir mengikat kedudukan.




"Ini adalah corak permainan yang saya ingin lihat sepanjang masa. Kami berpengalaman dalam kejohanan ini atau memang patut begitu. Rombakan juga sedikit memberi kesan apabila kami tidak lagi kompak.

"Kini kami sudah mencapai kemenangan, saya boleh katakan bahawa pertukaran yang dibuat adalah satu tindakan yang tepat memandangkan tidak mungkin pemain yang sama akan beraksi setiap tiga hari. Pemain yang diturunkan telah beraksi dengan sangat baik.

"Mereka dianggap lawan yang paling sukar. AC Milan dalam prestasi yang sangat baik. Kami dalam kumpulan yang sukar. Itulah sebabnya betapa pentingnya untuk kami memenangi perlawanan ini.

"Ia tidak memutuskan apa-apa lagi tetapi ia menawarkan kami untuk bermula dengan kemenangan."