Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, menolak sebarang kritikan terhadap Andy Robertson dan berpandangan persembahan pertahanan kiri itu tidak dihargai dengan sewajarnya.

Prestasi kapten Scotland itu dipersoalkan apabila memberikan sepakan penalti kepada Napoli ketika tewas 2-0 dalam perlawanan Liga Juara-Juara (UCL), Rabu lalu.

Robertson merupakan antara pemain terbaik perlawanan dan Klopp berasakan pemain berusia 25 tahun itu harus diberikan pujian yang lebih tinggi.

"Dia telah beraksi cemerlang untuk Liverpool sepanjang beberapa minggu dan bulan. Kemudian, selepas satu kesilapan, anda menghukumnya," kata Klopp.

"Kesilapan yang dilakukan telah menutup kesemua usaha yang telah dipamerkan Robertson. Sebenarnya, dia masih lagi di tahap yang terbaik, malah beraksi cemerlang sekali.

"Semua pihak bersetuju Napoli tidak berhak meraih sepakan penalti itu tetapi Jose Callejon bijak menggunakan situasi itu untuk pasukannya."

Mendahului saingan Liga Perdana Inggeris dengan lima mata, Liverpool bakal berkunjung ke Chelsea esok untuk memperbaiki rekod perlawanan ke atas enam pasukan teratas liga.

Liverpool hanya menang sekali dalam 12 kunjungan ke tempat lawan berdepan enam pasukan teratas liga, rekod yang mengejutkan Klopp.

"Ia sememangnya bukan berita baik tetapi agak mengejutkan saya.

"Kami hampir meraih kemenangan dalam perlawanan ini. Kami akan terus berusaha menampilkan permainan terbaik dan memperbaiki rekod tersebut," ujarnya lagi.