DORTMUND 2 BAYERN 3

Jude Bellingham mempersoalkan integriti pengadil, Felix Zwayer, ketika bertugas dalam Klassiker, awal pagi tadi, dan pandangannya mungkin mengundang tindakan tatatertib.


Borussia Dortmund tunduk 2-3 kepada musuh ketat, Bayern Munich, di laman sendiri yang dicemari beberapa keputusan kontroversi dalam babak kedua, sekali gus memihak Die Roten.

Yang pertama, bantahan Marco Reus tidak diendahkan apabila pemain Dortmund itu disandung Lucas Hernandez di dalam kotak penaltil Bayern sebelum pelawat memastikan kemenangan mereka dengan cara yang sama.

Mats Hummels melonjak di antara dua pemain dalam usaha menyambut sepakan sudut dan bola terkena lengannya terlebih dahulu.

Zwayer yang merujuk kepada Video Bantuan Pengadil (VAR) terlebih dahulu kemudian memberikan sepakan penalti untuk Robert Lewandowski menjaringkan gol kemenangan.

Bellingham berkata mutu pengadilan untuk perlawanan itu sudah diduga apabila melibatkan seorang pegawai perlawanan yang pernah dilanda kontroversi mengatur perlawanan.

Begitupun, Zwayer didapati tidak bersalah dalam tuduhan itu.

Pada 2005, Zwayer terperangkap dalam skandal yang membabitkan rakan setugasnya, Robert Hoyzer, yang didapati telah mengatur keputusan dua perlawanan Bundesliga.

Zwayer bertindak sebagai pembantu pengadil kepada Hoyzer dalam satu perlawanan dan dituduh menerima rasuah sebanyak €300 (RM1,436) sebelum dia dan tiga yang lain membongkar kegiatan Hoyzer.





Zwayer menghadapi tindakan Tatatertib FA Jerman (DFB) berhubung perkara itu pada 2006.

Pada Disember 2014, akhbar Jerman, Die Zeit, menerbitkan satu dokumen yang mendedahkan Zwayer digantung selama enam bulan.

Bellingham memberitahu Viaplay Football sejurus tamat perlawanan: "Bagi saya, ia bukan sepakan penalti. Hummels langsung tidak nampak bola dan dia bergelut untuk mendapatkannya.

"Bola itu mengenainya dan saya tidak fikir dia dapat melihat bola itu pun. Banyak keputusan dalam perlawanan ini yang tidak memihak kami.

"Anda menugaskan seorang pengadil yang pernah mengatur perlawanan sebelum ini bagi pertemuan terbesar di Jerman jadi apa yang anda jangkakan?"

Erling Haaland juga tidak senang dengan keputusan Zwayer tetapi masih mampu mengawal kemarahannya.

"Saya fikir ia adalah satu skandal apabila berkaitan dengan pengadil," katanya.

"Jelaskan Reus patut mendapat sepakan penalti. Saya bertanya Zwayer, 'Mengapa kamu tidak memeriksa VAR'. Dia berkata, 'Tidak perlu'.

"Ia satu kesombongan.... saya perlu bertenang sedikit sekarang.Dia angkuh dan saya tidak mahu mengulas lebih banyak lagi."