Pengurus Borussia Dortmund, Marco Rose, mengesahkan Erling Haaland belum cukup cergas untuk memainkan peranan penuh dalam pertembungan getir 'Klassiker' dengan Bayern Munich, awal pagi esok.

Haaland tidak perlu menunggu lama untuk mencetak nama selaku penjaring apabila hanya memerlukan tujuh minit di atas padang sebaik kembali daripada kecederaan enam minggu ketika membantu kemenangan 3-1 ke atas Wolfsbur, hujung minggu lalu.

Ia adalah gol Bundesliga ke-50 penyerang Norway itu untuk mencapai mercu tanda berkenaan dalam hanya 50 perlawanan, sekali gus menjadi pemain termuda yang melakukannya pada usia 21 tahun empat bulan.

Bagaimanapun, dengan hanya 17 minit permainan sejak mengalami kecederaan pinggul pada 19 Oktober lalu, Haaland tidak akan dianggap sebagai tunjang apabila mereka melayani Bayern di tempat sendiri.

"Erling sendiri tahu situasinya," kata Rose dalam sidang akhbar pra-perlawanan.

“Dia menjalani latihan yang baik sepanjang minggu ini.

"Tetapi kami sedar bahawa masih perlu berhati-hati. Dia pastinya tidak akan bersedia untuk mengharungi aksi 90 minit, jadi kami perlu lihat berapa lama dia boleh bertahan."





Dalam masa sama, di sebalik ketajaman berterusan Robert Lewandowski di depan gawang, penyerang Poland itu terpaksa berpuas hati menduduki tempat kedua selepas Lionel Messi dinobatkan trofi Ballon d'Or buat kali ketujuh, minggu ini.

Lantas, pengurus Bayern, Julian Nagelsmann, menuntut Lewandowski agar melepaskan 'geramnya' ketika berjumpa Dortmund.

"Saya sudah mengatakan bahawa Lewandowski kini di kemuncak prestasi dan tidak mustahil dia mampu mengulangi rentaknnya," katanya.

"Dia tidak dapat mengubah masa lalu. Setiap hari dia akan berusaha dan masa depannya dibentuk bermula dari sekarang. Saya fikir ada kemungkinan dia akan memenanginya jua suatu hari nanti.

“Saya pasti, apabila anda melihat catatan semasanya tanpa menggunakan bakat matematik seperti saya, ia kelihatan bagus untuk musim ini.

“Oleh itu, saya percaya dia mampu melakukannya dan mereka akan mengundinya pada tahun depan dan mengangkatnya sebagai juara Ballon d’Or.

"Adalah penting untuk menelan kekecewaan ini tetapi ia boleh dijadikan sumber tenaga dan motivasi untuk menampilkan satu lagi prestasi yang hebat. Dan saya yakin dia mempunyai dorongan ini."