Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur City FC, Stanley Bernard, mendedahkan bahawa perbincangan di antara kelab itu dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai ketiadaan Akram Mahinan dan Declan Lambert dalam skuad kebangsaan kali ini, sudah dilakukan sejak tiga minggu lalu.

Ketiadaan dua pemain itu juga menunjukkan FAM melayan isu berkenaan secara saksama seperti yang melibatkan 11 pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) dan seorang pemain Sri Pahang FC.

Menjelang saingan Piala AFF bulan depan, Stanley berkata kepada wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom: "Yang pertama, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada ketua jurulatih skuad kebangsaan dan pasukannya kerana memanggil pemain Kuala Lumpur City FC kerana ia merupakan sesuatu yang amat-amat penting buat pemain untuk diberikan peluang mewakili negara.

"Bagaimanapun, selepas beberapa perbincangan teknikal di antara barisan kejurulatihan KL City bersama pemain, dan selepas itu juga ada beberapa siri pebincangan di antara barisan kejurulatihan skuad kebangsaan dengan KL City, terdapat satu keputusan, di mana kebanyakan pemain akan dilepaskan kecuali beberapa pemain senior seperti Declan dan Akram kerana urusan peribadi dan keluarga.

"Selepas musim yang begitu panjang, mereka mungkin memerlukan waktu rehat seperti yang telah dibincangkan bersama ketua jurulatih, Bojan Hodak.

"Bagi pihak kelab, kami menghormati dan memahami, di mana kami melepaskan kesemua pemain yang boleh kecuali Declan dan Akram kerana urusan peribadi dan keluarga. Itulah percincangan awal yang berlaku," katanya.