Kalau pasukan lain pening tidak punya banyak pilihan dalam soal pemilihan pemain, berbeza pula dengan jurulatih Kuala Lumpur (KL) City, Bojan Hodak, yang pening kerana sukar untuk menentukan kesebelasan terbaik.

Menerusi perbualan dengan wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, ada jaminan daripada ketua jurulatih Croatia itu terhadap empat pemain baru yang ditandatangani dalam jendela perpindahan kedua Mei lalu, kesemua mereka akan beraksi menjelang pertemuan dengan Selangor pada Sabtu ini.

Dia kini ada lebih pilihan untuk menyusun kesebelasan terbaik sejak kehadiran Kenny Palraj, J Partiban, Kyrian Nwabueze dan Ryan Lambert.

"Masalah positif adalah bagus. Masalah saya sejak awal saingan ialah di bahagian pertahanan.

"Lazimnya saya mempunyai 10 pilihan terbaik tapi pemain di bangku simpanan tidak menepati tahap yang saya inginkan.

"Kini saya ada 18 pemain untuk dipilih," katanya.





Keempat-empat muka baru itu mendapat jaminan daripada Hodak untuk membuat kemunculan pertama ketika bertemu Gergasi Merah di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Cheras.

Namun, siapa yang mengisi 11 terbaik masih menjadi rahsianya.

"Mereka dalam keadaan baik dan semakin serasi dalam setiap sesi latihan.

"Perebutan tempat dan latihan kini lebih berkualiti. Ini satu langkah yang baik untuk kelab"