Penolong ketua jurulatih Kuala Lumpur City, Rosle Md Derus, yang kini dalam keadaan koma menunjukkan perkembangan positif dan telah dipindahkan dari unit rawatan rapi (ICU) ke unit rawatan jantung (CCU).

Keadaan terkininya dikongsikan Ketua Eksekutif KL City, Stanley Bernard, kepada wartawan Astro Arena, Syakirah Zulkifly, yang mendedahkan bukan sahaja kebajikan jurulatih itu terjamin, nasib keluarganya turut tidak akan terlepas pandang.

Bekas pemain skuad Piala Dunia Remaja 1997 dan Sukan Olimpik 2000 itu rebah ketika sesi latihan semalam akibat serangan jantung -- hari pertamanya memulakan tugas selaku penolong ketua jurulatih bagi menggantikan Nidzam Adzha Yusoff yang dinaik taraf sebagai pengarah teknikal.


Ini adalah jadual lengkap perlawanan Liga Super 2021 bagi bulan April ini ! Kuala Lumpur City FC akan mengharungi 2...

Posted by Kuala Lumpur City on Monday, March 29, 2021


"Mujur kami berlatih di sini (Stadium Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dan HUKM (Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia) ada di seberang jalan.

"Segalanya berlaku dengan pantas, beberapa kakitangan lain ada mengatakan dia mengadu sakit perut lalu membuat beberapa regangan.

"Tetapi laporan doktor mengatakan ia adalah serangan jantung.

"Apa jua yang diperlukan keluarganya dan dirinya akan dibiayai insuran kelab," kata Stanley.

Sebelum ini, Rosle tidak pernah mempunyai masalah kesihatan sebelum doktor mengesahkan dia koma akibat tiga lubang jantungnya tersumbat.

Kelab bimbingan Bojan Hodak itu akan bertemu Sabah di gelanggang sendiri, malam Sabtu ini.