Biarpun Kuala Lumpur sudah menempah tiket ke peringkat suku akhir Piala Malaysia, skuad warga kota mungkin terpaksa merombak struktur pertahanan setelah kehilangan tonggak pertahanan, Irfan Zakaria, yang mengalami kecederaan.

Irfan mengalami putus urat kaki dan memerlukan masa tiga bulan untuk kembali pulih, perkara itu disahkan ketua jurulatih, Bojan Hodak, dengan kedua-dua pemain tersebut terpaksa diusung keluar padang ketika pertemuan dengan Pulau Pinang Ahad lalu.

Ia situasi yang getir, tatkala Kuala Lumpur dan Sarawak United, masih berpeluang jadi juara Kumpulan A apabila hanya dipisahkan dengan satu mata.

Justeru misi yang penting buat Kuala Lumpur mengutip tiga mata di Stadium Darul Makmur untuk perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

"Irfan akan berehat hingga tahun depan, kecederaannya memaksanya diketepikan untuk jangka masa panjang," kata Bojan.

Turut sama mempunyai misi adalah pemain tengah, Akram Mahinan, yang mahu membantu pasukannya mara jauh untuk Piala Malaysia musim ini, sekaligus pikat hati pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, untuk pemilihan ke Piala AFF bulan depan.

Biarpun dia dipanggil semula dalam aksi persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan bulan lalu, namun ia bukan jaminan untuk dia kekal dalam panggilan skuad kebangsaan .

"Saya menyasarkan untuk beraksi dalam skuad kebangsaan dan berharap berpeluang untuk beraksi dalam Piala AFF," kata Akram.