Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, menyambut baik keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memilih Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin sebagai gelanggang rasmi skuad Harimau Malaya kerana ia memiliki kemudahan terbaik di negara ini.

Stadium Larkin pernah mendapat pengiktirafan pihak luar sebagai antara stadium bola sepak terbaik di Asia.

Justeru, FAM membuat pilihan tepat memandangkan venue utama, Stadium Nasional Bukit Jalil, masih dalam proses dinaikkan taraf menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos depan.

Begitu juga dengan Stadium Shah Alam yang masih dalam kerja menaik taraf.

"Keputusan itu diambil kerana Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos memiliki kemudahan yang terbaik dan saya tidak punya sebarang masalah. Namun, saingan Sukan SEA akan diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil," kata Khairy.

FAM memilih Stadium Larkin sebagai venue kempen kelayakan Piala Asia 2019.

Malaysia akan menentang Lubnan pada 13 Jun dan FAM sudah memaklumkannya kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Selain Lubnan, Malaysia turut diundi bersama Korea Utara dan Hong Kong dalam Kumpulan B.

Kali terakhir Malaysia menyertai Piala Asia ialah ketika menjadi tuan rumah pada 2007.

Kredit imej: Johor Southern Tigers