MALAYSIA 1 UAE 2

Malaysia paling takuti Omar Abdulrahman tapi dalam ketiadaan pemain bintang itu, Ali Ahmed Mabkhout mencuri tumpuan dengan dua jaringannya memberikan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kemenangan tipis 2-1 dalam perlawanan pusingan kelayakan kedua Kumpulan G, Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Diejek gara-gara percakarannya dengan Brendan Gan dalam satu situasi sepakan sudut yang menyaksikan kedua-duanya dilayangkan kuning menghampiri penghujung separuh masa pertama, Ali Ahmed menonjolkan dirinya dengan satu gol dalam setiap babak untuk UAE membuka kempennya dengan catatan cemerlang.

Harimau Malaya, bagaimanapun, masih boleh memandang ke hadapan kerana di sebalik perbezaan 94 anak tangga dalam ranking dunia, jurang besar itu tidak banyak menampakkan perbezaan pada ketika tuan rumah membuatkan pelawat benar-benar bermandi peluh untuk tiga mata pertamanya.

Malaysia tidak mungkin mengharapkan permulaan lebih gemilang. Jam baru menunjukkan 34 saat apabila Mohamadou Sumareh meloloskan Matthew Davies di sebelah kanan, disusuli lambungannya yang ditanduk masuk Syafiq Ahmad menewaskan Khaled Esa.

Ketika UAE terus terkial-kial mencari rentak, Malaysia mengasak lagi. Dua peluang berturut-turut terlepas, didahului lencongan Davies yang ditepis pada minit keenam dan kemudian sepakan leret Safawi Rasid pula tepat kepada penjaga gol lawan itu.

Syafiq (m-13) yang merembat sipi di depan gol, satu lagi percubaannya terus kepada penjaga gol (m-19) dan dituruti Norshahrul Idlan Talaha yang sepakannya tinggi ke awan pada minit ke-23, menyimpulkan betapa Harimau Malaya harus lebih menghargai peluang.

Amaran awal UAE datangnya daripada penyerang, Ali Ahmed Mabkhout, yang menyambar satu hantaran lintang Khalil Ibrahim pada minit ke-28 hanya untuk menyaksikannya mencecah tiang tapi dia tidak tersilap dalam kesempatan keduanya apabila menanduk masuk lambungan Mohamed Saleh Almenhali bagi mengikat kedudukan tiga minit sebelum rehat.

Separuh masa pertama itu bukan tanpa drama. Tolak-menolak dalam satu situasi sepakan sudut pada minit ke-32 menyaksikan Brendan Gan bernasib baik hanya dilayangkan kad kuning apabila menghantuk kepala Mabkhout. Penyerang no 7 UAE itu pula diberi amaran sama apabila menolak kasar Brendan ketika sepakan sudut hendak diambil pada minit ke-35 itu.

Dihujani “boo” penonton sejak insiden itu, Ali Ahmed Mabkhout, bagaimanapun, menebus dosanya dengan menanduk masuk gol penyamaan pelawat tujuh minit kemudian.

Seakan-akan menyimpan kuku dalam 45 minit awal, UAE menyerlahkan kesungguhannya dalam separuh masa kedua. Gerakan lancar dalam serangan bertali arusnya kini menjadi tontonan untuk tuan rumah ditekan lebih banyak berkampung di kawasan sendiri.

Disajikan peluang di dalam kotak penalti, penyerang no 20, Ali Saleh Amro, merembat sipi pada minit ke-48 di samping mujur juga satu lagi peluangnya pada minit ke-63 sempat dipintas Adam Nor Azlin untuk pintu gol Malaysia terselamat sekali lagi.

Namun, malang tidak terduga berlaku pada minit ke-74 – hanya seminit selepas Omar Abdulrahman dimasukkan di sebalik pemain perancang no 10 itu tiada kaitan dengan apa yang menyusul.

Daripada satu sepakan jauh penjaga gol, Khaled Esa, kedua-dua Davies dan Shahrul Saad gagal memintas dan membuka laluan buat Ali Ahmed Mabkhout melarikan bola dan menyudahkannya di sebalik disaingi Adam. Malaysia 1 UAE 2.

Sepakan leret Safawi daripada hantaran lolos Brendan yang terkena tiang empat minit kemudian, sepakan leret Davies yang diselamatkan serta satu sungkitan Brendan yang ditepis dalam masa kecederaan, menceritakan ia bukan rezeki Malaysia malam ini.