Kapten Terengganu, Tchetche Kipre, tidak gusar walaupun masih belum menemui sentuhan jaringan selepas mengharungi tiga aksi Liga Super musim ini di sebalik kegagalan skuad Peteh mencipta kemenangan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) malam tadi.

Kipre, yang memasuki musim ketiganya bersama Terengganu, terus menjadi sandaran, apatah lagi dia merupakan penjaring kedua terbanyak kempen Liga Super musim lalu dengan 14 gol.

Bagaimanapun, selepas tiga perlawanan, dia masih tidak dapat mencetak nama selaku penjaring tetapi perkara itu tidak begitu menggusarkannya.

Setakat ini, masih belum ada tonggak import Terengganu yang mampu memperoleh jaringan selepas tiga perlawanan.

"Saya rasa bagus dan gembira. Kini saya meraih keyakinan apabila dapat berlari dengan sempurna. Saya boleh katakan bahawa saya gembira dengan prestasi tetapi tidak pada tahap 100 peratus," katanya.

Sementara itu, Kipre percaya skuad Peteh akan menemui semula rentak seperti yang dipamerkan sewaktu laluan mereka ke final Piala Malaysia 2018.

Dia menegaskan persefahaman dalam kalangan pemain kini semakin baik dan ia jelas kelihatan sewaktu aksi dengan JDT dan dia meletakkan harapan yang tinggi bahawa Terengganu mampu mencatat kemenangan sulung musim ini dengan pertemuan menentang Kuala Lumpur, Jumaat depan.

"Kami sedang meningkat dan setiap perlawanan adalah cabaran berbeza. Kami beraksi sebagai satu pasukan. Semua pemain memainkan peranan masing-masing dan saya yakin kami mampu melakukannya dalam aksi seterusnya."