Pemain tengah Selangor FC, Mukhairi Ajmal Mahadi, teruja apabila diberi peluang untuk beraksi di bawah kendalian ketua jurulatih, Kim Pan-gon, bagi menghadapi kejohanan King's Cup di Chiang Mai bermula Khamis hingga 25 September ini.

Menurut Mukhairi, ini adalah masa terbaik buat dirinya untuk membuktikan kemampuan diri kepada pengendali dari Korea Selatan itu supaya dapat kekal bersama skuad Harimau Malaya.

Mukhairi, yang merupakan ketua pasukan skuad B-23 ketika di bawah kendalian Brad Maloney, telah beraksi dalam kejohanan Piala AFF B-23, Sukan SEA Hanoi dan Piala Asia B-23.

Pemain berusia 20 tahun itu juga berkata, pemilihan tiga kapten, iaitu Dion Cools, Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad, adalah keputusan yang tepat oleh Pan-gon.

“Bagi saya Syafiq Ahmad sudah lama bermain bersama skuad kebangsaan, begitu juga Safawi. Dion (Cools) pula kita tahu mempunyai pengalaman yang cukup luas di Eropah dan ini akan membantu kami pemain muda tingkatkan prestasi,” ujarnya.

Beliau memberitahu, setiap pemain bersedia untuk menghadapi kejohanan itu kerana mereka sudah serasi dan memahami taktikal serta percaturan yang dilakukan Pan-gon.

Dalam perlawanan pembukaan, Malaysia akan menentang tuan rumah, Thailand, pada 22 September ini, yang mana sekiranya menang, mereka akan layak ke perlawanan akhir menentang sama ada Tajikistan atau Trinidad & Tabago.

Kredit: Sinar Harian