Jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon, mengakui kelemahan pasukan negara ketika diikat Thailand dalam saingan King's Cup, malam tadi, dan akan menganalisis kelonggaran pasukan negara itu.

Beliau dan barisan kejurulatihan mahu mengelak kesilapan sama berulang pada perlawanan akhir menentang Tajikistan di Chiang Mai pada Ahad ini.

Pengendali dari Korea Selatan itu juga komited untuk membina corak dan gaya permainan ala Malaysia, namun kerapuhan pada babak kedua permainan tidak boleh berlaku lagi.

“Mungkin ia berlaku mengikut situasi. Secara taktikal kita berani mengambil risiko dan sudah semestinya ia tidak seperti yang dirancang.




“Kami akan menganalisis semula dan melihat apa yang berlaku dan kelemahan yang boleh diperbaiki untuk dikongsi dengan pemain.

“Kami mahu bentuk cara permainan Malaysia atau DNA, corak menyerang yang diinginkan dan memberi sesuatu kepada penyokong. Kami akan perbaikinya,” katanya pada sidang media selepas aksi itu.

Dalam perlawanan di Stadium 700th Anniversary di Chiang Mai itu, Malaysia mengecewakan Thailand menerusi sepakan penalti 5-3 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam saingan sebenar.

Pan-gon turut mengakui anak-anak buahnya menerima tekanan tinggi daripada penyokong skuad Gajah Perang itu, namun beliau memuji kekentalan dan semangat yang diberikan setiap pemain untuk mengawal situasi tersebut.

"Kami bermain di gelanggang lawan. Boleh dilihat begitu ramai penyokong di sini. Secara mental dan fizikalnya, kami memang berada dalam tekanan tetapi kesemua pemain melakukan tugasan dengan cukup hebat. Kami berjaya mengatasi semua ini.

"Ia adalah persembahan dan mentaliti yang hebat kerana ini adalah satu perlawanan yang sukar tetapi ia berjaya. Akhirnya kami berjaya mendapatkan keputusan yang baik.

"Ini semua hasil usaha daripada pemain. Terima kasih diucapkan kepada pemain Harimau Malaya," katanya.

Malaysia akan menentang Tajiskistan dalam saingan final di Stadium 700th Anniversary, Chiang Mai.

Kredit: Sinar Harian