Pertahanan Harimau Malaya, Azam Azmi Murad, berazam untuk memberikan aksi terbaik sekiranya diberikan peluang untuk beraksi dalam final Kejohanan Bola Sepak King’s Cup berdepan Tajikistan di Chiang Mai malam esok.

Menurut pemain daripada skuad B-23 negara itu, dia gembira apabila diberikan peluang oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon, untuk beraksi berdepan tuan rumah, Thailand, kelmarin.

Justeru, dia sudah tidak sabar menantikan aksi final berkenaan bagi membantu kejayaan Harimau Malaya.

“Insya-Allah, kalau diberikan peluang, saya akan berikan aksi yang terbaik dan bermain dengan elok,” katanya.

Harimau Malaya mara ke final edisi ke-48 King’s Cup apabila menewaskan tuan rumah, Thailand, menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 hingga tamat masa perlawanan sebenar.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Kim Pan-gon itu bakal berdepan Tajikistan, yang menewaskan Trinidad & Tobago 2-1.

Untuk rekod, kali terakhir skuad negara memenangi King's Cup adalah dalam edisi 1978 dengan menewaskan Singapura 3-2 di Bangkok.

Sementara itu, seorang lagi pertahanan Harimau Malaya, Declan Lambert, turut gembira walaupun hanya berpeluang beraksi selama 10 minit ketika berdepan Thailand.

Katanya, peluang berkenaan sudah cukup untuk membuatnya berasa berbangga dan berharap skuad negara dapat mencipta kejayaan dalam final.

“Memang saya agak gugup apabila diturunkan tetapi dalam masa sama, saya gembira mendapat penampilan pertama bersama Harimau Malaya.

“Apapun, saya terharu kerana diberikan kepercayaan untuk beraksi walaupun hanya untuk tempoh 10 minit dan diharapkan aksi final kali ini akan berpihak kepada skuad negara dalam usaha menamatkan penantian selama 44 tahun untuk memenangi semula piala ini,” katanya.

Kredit: Sinar Harian