Penyerang Bournemouth, Joshua King, melalui hari yang sukar selepas perpindahan pulang ke Manchester United gagal disempurnakan, kata Eddie Howe.

United dilaporkan berminat untuk membawa King pulang ke Old Trafford ketika jendela perpindahan bulan lalu dalam usaha menampung isu kecederaan yang melanda Marcus Rashford.

King, 28, dikatakan teruja untuk menyertai United selepas melakukan dua penampilan bersama skuad senior dan menjadi pertaruhan utama pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer, sewaktu bersama skuad simpanan.

Bournemouth dilaporkan menolak tawaran United dan The Red Devils akhirnya mendapatkan khidmat bekas penyerang Watford, Odion Ighalo, sambil King berasa seperti dipergunakan, menurut The Athletic.

Pengurus Bournemouth, Howe, mengakui King melalui hari yang sukar dengan situasi itu tetapi menggesa pemain Norway itu untuk menjadikannya sebagai cabaran tatkala pasukannya sedang bergelut dengan status penyingkiran.

"Ia hari yang sukar buatnya," kata Howe.

"Namun, ia adalah detik yang besar buat King, membuatkan United datang dan menyatakan minat terhadapnya.

"Bagaimanapun, dia sangat fokus dengan kedudukan kelab ketika ini. Dia tahu kami berjuang untuk mengelakkan penyingkiran, jadi tiada masa untuk fokus terhadap diri sendiri. Dia tahu dan King adalah seorang pemain secara berpasukan.

"Jadi, dia mahu sentiasa cergas dan menyumbang buat kelab."

Esok, Bournemouth akan berkunjung ke Sheffield United ketika mereka dibezakan dua mata dengan zon penyingkiran dan menyasarkan untuk meraih kemenangan kedua berturut-turut.



Editor: Nafis Abdullah