Bayern Munich masih menunggu keputusan sama ada mereka dapat menurunkan Joshua Kimmich dalam perlawanan menentang Augsburg awal pagi esok atau tidak selepas pemain itu menjadi kontak rapat kepada seseorang yang berkemungkinan dijangkiti virus COVID-19.

Ketua jurulatih, Julian Nagelsmann, mengesahkan bahawa Kimmich tidak menyertai latihan semalam sebagai langkah pencegahan dan pasukan juara Bundesliga itu sedang menantikan keputusan ujian PCR pemain berkenaan.

Kimmich, yang secara terbuka mengakui bahawa dia masih belum mengambil sebarang dos vaksin koronavirus, sebelum ini turut diasingkan bersama Serge Gnabry dan Jamal Musiala selepas menjadi kontak rapat kepada Niklas Sule.

Sule digugurkan daripada skuad Jerman menjelang perlawanan menentang Liechtenstein dan Armenia selepas diuji positif koronavirus.

Kicker melaporkan bahawa Kimmich, Gnabry dan Musiala -- kesemuanya masih belum divaksin -- telah diasingkan daripada skuad Bayern berikutan peningkatan kes COVID-19 di kelab itu.

Josip Stanisic menjadi pemain terbaru Bayern dijangkiti virus itu minggu ini, di mana pasukan gergasi Bavaria itu berkata semalam bahawa pemain Croatia yang sudah lengkap divaksin itu sedang menjalani pengasingan tetapi berasa sihat.