Ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, tidak bimbang dengan keselamatan pasukannya di Indonesia bulan depan sambil menegaskan beliau sudah bersedia dengan segala risiko yang bakal dihadapi menjelang Sukan Asia 2018.

Aksi Kejohanan AFF B-19 di Surabaya menyaksikan skuad negara dilontar pelbagai objek oleh penyokong Indonesia selepas Malaysia menundukkan tuan rumah dalam aksi separuh akhir.

Bagaimanapun, Kim Swee percaya dengan kemampuan skuad keselamatan Sukan Asia 2018, membuatkannya tidak risau dengan situasi yang berlaku baru-baru ini.

"Saya tidak berasa risau atau bimbang kerana saya tahu, apabila berlaku perkara seperti ini, kita tidak boleh menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi mencari jalan penyelesaian.

"Pemain-pemain hanya perlu fokus kepada tugas masing-masing," kata Kim Swee.