Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, enggan memandang mudah cabaran Kedah Darul Aman FC meskipun lawan mereka itu berada dalam prestasi kurang meyakinkan.

Kim Swee menggesa anak buahnya kekal fokus dalam misi mereka untuk menamatkan saingan Liga Super musim ini di kelompok pasukan terbaik.

Sabah yang berjaya mencatatkan kemenangan dalam empat aksi terakhir bertandang ke Stadium Darul Aman dengan motivasi yang terbaik.

Bagi Datuk Ong Kim Swee, setiap pemain yang bakal disenaraikan berdepan kedah perlu memastikan Sang Badak tidak keciciran mata.

Tambah pengendali berusia 51 tahun itu, Kedah sudah semestinya mahu bangkit di hadapan penyokong sendiri sekaligus buktikan mereka masih lagi pasukan pencabar musim ini.

Sabah bagaimanapun terpaksa melupakan khidmat dua tonggak tengah, Gary Steven Robbat serta Stuart Wilkin yang masih dalam senarai kecederaan.

"Persiapan Sabah seperti biasa dan kami menuju penghujung musim dan saya percaya Kedah mahu membuktikan mereka masih lagi relevan dan pencabar kepada saingan," kata Kim Swee.

"Kami tidak akan mengambil mudah perlawanan dan memastikan Sabah kekal di landasan dan mahu mengakhiri musim di kedudukan yang terbaik.

"Tiada masalah penggantungan, namun kecederaan masih lagi membelenggu beberapa pemain.

"Kami tidak terlalu memikirkan mengenai pasukan lawan sebaliknya fokus kepada mutu permainan sendiri."