Menjelang aksi peringkat suku akhir Piala Malaysia, pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, mengakui perlawanan menentang Melaka United tampak sukar jika anak buahnya tidak mampu mengekal fokus mereka Ahad nanti.

Sabah berjaya mara ke pusingan kalah mati Piala Malaysia buat kali pertama sejak 2018 selepas menamatkan saingan kumpulan di tempat kedua, mengekori juara 2019, Johor Darul Ta'zim (jdt).

"Terdapat beberapa pemain yang mengalami kecederaan dan berharap mereka sempat pulih untuk perlawanan akan datang," kata Kim Swee.

"Perkara paling penting adalah kekal fokus sepanjang perlawanan dan mereka telah diberitahu bahawa perlawanan ini hanya akan ditentukan selepas tamat 180 minit dan memastikan tidak memberikan peluang kepada lawan untuk menghukum kami."

Sementara itu, bagi ketua jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan, berpandangan, "Pasukan dalam keadaan terbaik semua pemain bersedia untuk diturunkan. Tugas saya adalah memastikan kesebelasan utama yang terbaik.

"Corak permainan pasukan Sabah sudah mula meningkat naik sejak di bawah kendalian Kim Swee dan setiap pemain Melaka perlu berwaspada dengan ancaman lawan."