Pertahanan Negeri Sembilan FC, Ahmad Khuzaimi Piee, dipanggil melapor diri ke kem latihan pasukan kebangsaan yang bermula hari ini, menjelang kunjungan ke Singapura minggu depan.

Ahmad Khuzaimi yang sebelum ini berada dalam senarai bersedia menggantikan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Syahmi Safari, yang diberi pengecualian susulan kelahiran bayi kembar tiganya.

"Perancangan asal kami ialah menggantikan Syahmi dengan seorang pemain pada posisi yang sama, iaitu bek kanan tetapi pemain Sabah FC, Rizal Ghazali, menolak pelawaan.

"Atas sebab taktikal, pengurusan pasukan kebangsaan memberi peluang kepada Ahmad Khuzaimi membuktikan kemampuan sebagai pemain bek tengah berkaki kiri," kata ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon dalam satu kenyataan hari ini.

Harimau Malaya dijadualkan ke Singapura untuk beberapa perlawanan persahabatan dan bakal menentang Filipina pada 23 Mac, negara tuan rumah (26 Mac) dan Albirex Niigata FC Singapura (28 Mac).

Ia merupakan sebahagian daripada persiapan menjelang kelayakan Piala Asia, Jun depan.