Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) akan mengemukakan permohonan rasmi untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022 dengan presiden, Datuk Seri Subahan Kamal, menyifatkannya sebagai peluang terbaik, terutama bagi skuad wanita, melakukan penampilan sulung dalam kejohanan terbesar itu.

Malaysia akan membida hak penganjuran Piala Dunia 2022 membabitkan saingan lelaki serta wanita. Jika Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) memberikan tawaran, ia bermakna skuad wanita berpeluang untuk membuat penampilan sulung ketika pasukan lelaki sudah layak sebanyak lapan kali sejak kejohanan itu dianjurkan buat kali pertama pada 1971.

Malaysia pernah menjadi tuan rumah Piala Dunia edisi 1975 dan 2002, namun ketika itu ia hanya membabitkan skuad lelaki.

"Saya berani untuk mengatakan bahawa pihak FIH melihat Malaysia sebagai lokasi yang bagus untuk menjadi tuan rumah sesebuah kejohanan berdasarkan penajaan dan kemudahan yang dimiliki.

"Mungkin India sudah mengadakannya tetapi tidak mustahil untuk ia dijalankan sekali lagi di Asia," kata Subahan.

"Ramai berpendapat ini adalah peluang terakhir kami untuk ke Olimpik. Jadi, ia mampu menjadi perancangan tambahan buat negara," ujar ketua jurulatih skuad lelaki negara, Stephen Van Huizen.

Pihak FIH menawarkan kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah Hoki Siri Final pada tahun depan selepas melawat Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, bulan lalu dan jika lembaga eksekutif KHM bersetuju, ia akan menawarkan peluang terbaik buat negara.