Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad, menafikan khabar angin bahawa dia akan mengundurkan diri daripada persatuan itu.

Menurutnya, tiada keperluan untuk dia melepaskan jawatannya memandangkan prestasi Kuala Lumpur City FC sedang berada di tahap yang boleh dibanggakan, terutama selepas menjuarai Piala Malaysia tahun lalu.

Sebelum ini, Nadi Arena melaporkan bahawa KL City sedang menghadapi masalah tunggakan gaji pemain selama dua bulan berikutan konflik dalaman dan perbezaan ideologi politik dalam KLFA tetapi Khalid, menerusi temu bual terbaru, mengesahkan bahawa pembayaran gaji pemain dan pegawai bagi bulan Januari sudah diselesaikan dan hanya pembayaran gaji bulan lalu masih tertunggak.

"Baru-baru ini, kami telah dapat menyelesaikan masalah pembayaran gaji bagi bulan Januari.

"Pemain-pemain juga, Alhamdulilah, mempunyai sikap yang begitu positif.

"Walaupun dua bulan tidak dibayar gaji, mereka telah bermain dengan bersungguh-sungguh dalam perlawanan menentang Selangor dan Kedah (Darul Aman).

"Mereka juga menewaskan pasukan Liga M3, Langkawi FC, 8-0 dan bermain dalam Piala Sumbangsih dengan gaji yang tidak dibayar.

"Mereka semuanya memahami dan memberikan sokongan dengan sepenuhnya dan kami telah berjanji untuk menyelesaikan gaji bulan Januari pada Jumaat lalu dan Alhamdulillah, kami berjaya.

"Jadi, tekanan untuk saya meletakkan jawatan tidak lagi mendesak seperti ketika saya membuat kenyataan itu.

"Kerana, macam mana pun, saya mesti menyelesaikan masalah kewangan dan gaji pemain perlu dibayar.

"Jika saya perlu meletakkan jawatan untuk melaksanakannya maka terpaksalah saya melakukannya.

"Saya difahamkan ada lagi wang penaja yang akan masuk untuk kami menyelesaikan pembayaran bulan Februari dan mungkin Mac pada awal April ini," katanya.